Muka tu juga daaa…

Muka tu juga daaa…

Banyak gabungan telah diusahakan atau dibentuk tetapi setakat ini membabitkan barisan parti sama. Ertinya parti itu juga.

Mohsin Abdullah

Tiga hari lalu Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengumumkan pembentukan satu gabungan 11 parti pembangkang.

Bagi saya tidak perlu jadi ‘political scientist’ untuk tahu tujuannya menggugat kerajaan dan menjatuhkannya. Seboleh-bolehnya menerusi PRU mendatang. Kalau ada cara lain lagi bagus. Percaturan politik umpamanya. Lagi cepat lagi bagus. Ini kata saya.

Kata Muhyiddin tujuan gabungan itu ialah memperjuangkan isu yang menurut beliau gagal diselesaikan kerajaan Madani termasuk ‘janji reformasi’. Pada hemat saya apa beliau kata dan apa saya kata ialah perkataan lain makna sama.

Tidak ada salahnya pembangkang mahu wujudkan gabungan. Malah ia langkah paling ‘logical’. Pembangkang mesti tunjuk ‘a united front’, bukan berpecah-pecah. Mesti kasi kerajaan gerun. Mesti tunjuk haluan yang sama. Mesti papar kesepakatan dan barisan ‘solid’ untuk lawan kerajaan. Dan semasa buat pengumuman Isnin lalu Muhyididn kata ‘kami sepakat di sini. Tak ada satu pimpinan parti yang tak setuju – ini satu perkara perlu diberi keutamaan termasuk soal Rancangan Malaysia Ke-13’.

Cuma sudah banyak kali ini dilakukan dan banyak gabungan telah diusahakan atau dibentuk. Adakah ini salah? Tidak. Tetapi, setakat ini gabungan yang dibentuk Muhyiddin membabitkan barisan parti sama. Ertinya parti itu juga.

Yang diumumkan Muhyiddin Isnin lalu ialah Bersatu (parti beliau), PAS (parti sekutu beliau dalam PN), Gerakan (juga sekutu dalam PN), Pejuang, Muda, Parti Rakyat India, Putra, Berjasa, PSM dan Parti Perikatan India Muslim Nasional. Satu lagi ialah parti yang belum didaftar secara rasmi iaitu Urimai.

Imbau kembali 18 Julai lalu pula. Muhyiddin mengumumkan hasrat menubuhkan sebuah barisan pembangkang. Satu pertemuan diadakan. Siapa yang dijemput? Pejuang, Putra, PSM, Muda, PPP, Berjasa, Urimai, Gerakan dan Bersatu.

Ada beza barisan yang dahulu dengan barisan sekarang? Ada. PAS tak ada dalam barisan dijemput 18 Julai lalu. Tetapi barisan diumum Muhyiddin pada 18 Ogos, PAS ada di dalamnya.

Yang lain? Sama bukan? Okeylah waktu itu pertemuan untuk mendapat ‘feedback’ bagi menubuhkan apa yang Muhyiddin namakan barisan rentas parti. Kali ini kata Muhyiddin sudah setuju bentuk. Bukan sekadar pertemuan untuk dapatkan ‘feedback’.

Tetapi, mengapa rancangan 18 Julai lalu tidak diteruskan? Sebab PAS tak ikut serta ke? Iya atau tidak hakikatnya rancangan itu tidak berjaya dilaksana. Maka terpaksa Muhyiddin umum satu lagi gabungan. Gabungan longgar katanya atau ‘loose coalition’. Tidak perlu jadi ‘political scientist’ untuk tahu kedua-dua cadangan dibuat ‘with an eye on the next general election’. Persoalan penting. Bukankah sudah ada PN? Dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.

Apa perlunya ada satu lagi gabungan pembangkang? Jika hasratnya mahu adakan ‘a united opposition front’ dan gerunkan kerajaan bukankah ‘strategically right’ PN diperkukuhkan? Yakni membawa semua parti yang disebut Muhyiddin pada 18 Julai lalu masuk ke dalam PN?

Dan mengapa wujudkan ‘loose coalition’. Mengapa tidak sesuatu yang ‘binding’? Jika gabungan longgar parti di dalamnya tidak terikat dengan peraturan induk, dasar dan strategi. Masing-masing bebas dengan cara sendiri. Ibarat masuk tetapi tak masuk.

Saya percaya Muhyiddin dan PN mahu gabungan itu diperbesarkan. Tetapi tahu parti yang mereka mahu pikat meskipun kecil dan tidak kuat tidak mahu menyertai PN. Mengapa? Kena tanya parti parti berkenaan. Ertinya PN tidak ada ‘pull factor’. Mengapa? Kena tanya Muhyiddin sendiri. Juga Hamzah Zainudin dan Hadi Awang.

Pada perkiraan saya ia membabitkan juga ideologi, pendekatan dan cara berpolitik masing masing. Ertinya berbeza dengan cara PN. Semua parti itu mahu kekal dengan ‘shape’ dan ‘style’ masing-masing.

PAS punya cara tersendiri dalam memburu undi Melayu. Begitu juga Bersatu. Awalnya PAS dengan garis keras agama. Bersatu dengan cara nasionalis Melayu-maklumlah berasal daripada Umno. PAS mengekalkan cara mereka. Cara Islamik keras. Bersatu pula sudah semakin macam PAS dan adakala lebih PAS daripada PAS dalam usaha menambat hati orang Melayu Islam.

Ada parti parti kecil seperti Pejuang dan Putra cuba tonjol imej Melayu nasionalis. Mereka juga ada sejarah dengan Umno. Manakala Berjasa tonjol imej Islamik tetapi semua parti itu pada pandangan saya masih tidak selesa untuk jadi komponen PN. Jika ada persamaan mengapa tidak masuk PN? Barangkali faktor sama tapi tak serupa?

Faktor utama menurut saya parti itu tahu mereka akan terpaksa atau dipaksa melukut di tepi gantang. Dalam lain perkataan sentiasa kena ‘kowtow’ dengan PAS dan Bersatu, terutama PAS. Muhyiddin tahu ini semua. Lantas terpaksa cuba buat gabungan berbeza tetapi bak saya kata tadi membabitkan parti sama. Jelas tidak banyak pilihan untuk beliau.

Menarik untuk diperhatikan, Muhyiddin semasa mengumumkan penubuhan gabungan longgar Isnin lalu bercakap dalam kapasiti presiden Bersatu bukan pengerusi PN. Adakah kerana nama PN susah dijual kepada khalayak? Atau adakah nama itu timbulkan fobia dalam kalangan parti kecil yang mahu dipikatnya?

Seperti dikata tadi Muhyididn mahu tampilkan satu gabungan pembangkang yang bersatu tetapi pada masa sama tahu masalah dan rintangan dihadapi. Banyak masalah akan timbul apabila pilihan raya diadakan. Beliau tahu semua parti yang beliau sasar akan ada tuntutan masing masing. Sebenarnya, apa yang Muhyididn cuba lakukan lebih menyusah daripada menyenangkan.

Menurut saya, satu cara terbaik ialah semua parti kecil yang Muhyididn sasar dibubarkan dan mereka masuk Bersatu atau PAS atau masuk PN secara langsung. Saya akui ‘this is easier said than done’. Hakikatnya ini tidak akan terjadi kerana walaupun kecil semua parti itu bangga dengan diri mereka masing masing. Bubar tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka.

Oh seperkara lagi. Semasa mengumumkan gabungan 18 Julai, Muhyiddin dakwa semua yang hadir pada pertemuan dengannya sudah setuju mahu menyertainya. Beberapa jam kemudian PSM dan Muda keluarkan kenyataan masing-masing kata mereka belum buat keputusan untuk menyertai gabungan Muhyiddin.

Semasa umum ‘loose coalition’ 18 Ogos pula seperti dikata tadi, Muhyiddin namakan PSM antara parti bersetuju dan bersepakat dengan langkahnya. Tidak lama selepas itu PSM keluar kenyataan dan beritahu ia belum ada mandat untuk menyertai gabungan longgar Muhyiddin.

Saya tahu Muhyiddin cuba ‘commit’ Muda dan PSM 18 Julai dan 18 Ogos lalu. Tetapi apabila kedua-dua parti buat penafian, itu tidak bagus untuk beliau. Sedikit-sebanyak kredibiliti terjejas.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.