Pendakwaan suspek dalam kes kematian Zara Qairina menjawab tuntutan ribuan yang berhimpun demi keadilan untuknya.
Ketika menteri dalam negeri masih membentangkan laporan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin, sebilangan komen secara langsung di media sosial terus mempertikaikannya dengan dakwaan fakta sebenar disembunyikan di samping maklumat yang mahu diketahui mereka telah diputarbelitkan.
Berlawanan dengan reaksi Ahli Parlimen yang nampaknya rata-rata berpuas hati dengan penjelasan Saifuddin Nasution Ismail, warga maya pula memberi persepsi bahawa mereka sudah muak dengan pelbagai jaminan, sebaliknya menantikan adanya tangkapan dan suspek segera dihadapkan ke muka pengadilan.
Sebulan selepas kematian pelajar berusia 13 tahun itu di Hospital Queen Elizabeth II Kota Kinabalu pada 17 Julai — sehari selepas dikatakan terjatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar — keresahan warga maya boleh difahami.
Seperti kes lain, apa yang mahu dilihat mereka ialah individu atau sekumpulan individu berbaju oren atau ungu tertulis lokap polis dibawa ke mahkamah untuk didapatkan perintah tahanan reman.
Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang di asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth I keesokannya. Laporan awal forensik mendedahkan Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk yang konsisten dengan kesan jatuh dari aras tinggi.
Kematiannya mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan — salah satu kemungkinan yang turut disiasat polis.
Didorong oleh banyaknya video dikongsikan di media sosial – daripada pengetua dikatakan mengarahkan guru dan pelajar supaya mengunci mulut, rakaman CCTV dipadamkan, dakwaan Zara bukan terjatuh tetapi menjadi mangsa buli hinggalah kepada kononnya ada individu tertentu mahu dilindungi – rasa tidak sabar ramai supaya siasatan dapat segera dimuktamadkan menjadi tontonan seluruh negara.
Daripada himpunan solidariti ‘Keadilan untuk Zara” yang diadakan serentak di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu pada 8 Ogos yang mengundang kehadiran ribuan, seterusnya menular ke bandar-bandar lain di Sabah dan hujung minggu lalu dianjurkan di pelbagai bandar di Semenanjung dari Kota Bharu hingga ke Johor Bahru, mereka hanya mahukan jawapan.
Turut dikongsikan di media sosial himpunan solidariti seumpamanya melimpah ke Singapura, Brunei, Indonesia dan Thailand, malah membabitkan sekumpulan jemaah umrah Malaysia di hadapan Kaabah. Seperti yang lain-lain itu, hanya satu dituntut dan didoakan mereka — pelaku kezaliman segera ditahan untuk siasatan. Tidak cukup sekadar kenyataan bahawa hampir 200 orang yang membabitkan tenaga pengajar, warden, pengawal keselamatan, pegawai perubatan, ibu bapa serta pelajar sudah diambil keterangan.
Sebelum ini, kedua-dua Saifuddin dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dituntut meletak jawatan. Desakan itu didahului oleh Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham pada 9 Ogos yang mendakwa kedua-duanya gagal melaksanakan tanggungjawab menangani kes kematian Zara hingga mengundang kemarahan umum.
“Biarpun perdana menteri telah memberi jaminan keadilan akan ditegakkan, namun himpunan yang berlaku memperlihatkan kesedaran dan kebangkitan rakyat khususnya kaum ibu yang tidak lagi yakin dengan sistem pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan keadilan,” katanya dalam kenyataan.
Ini dituruti Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat Nurul Islam Mohamed Yusoff pada 17 Ogos yang menegaskan desakan itu bukan kerana isu politik tetapi tuntutan terhadap tanggungjawab kedua-dua menteri berkenaan.
“Barulah kemarahan rakyat kepada kerajaan Madani akan reda sedikit. Heads need to roll, Mr PMX,” katanya.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, dalam mempertahankan kedua-dua menteri berkata penyelesaian sebenar memerlukan fokus kepada proses siasatan yang sedang dijalankan mengikut saluran sewajarnya.
Saifuddin menegaskan di Dewan Rakyat semalam bahawa tiada sebarang unsur ‘cover up’ terhadap kelewatan siasatan kes kematian Zara, manakala berlakunya ketidakpatuhan dalam proses awal tidak sama sekali menjejaskan integriti siasatan selepas sepasukan sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengambil alih 12 Ogos lalu.
Sambil menolak ada kaitan individu berprofil tinggi, Saifuddin berkata dakwaan bahawa Zara didera dalam mesin basuh juga tidak benar daripada keterangan 195 saksi serta beberapa bahan bukti termasuk diari 51 halaman miliknya yang diserahkan guru kepada polis.
“Tuduhan mengatakan bahawa kes ini cuba ditutup, cuba dimanipulasi adalah tuduhan yang sangat berat, tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa dari awal hingga kini,” katanya sambil mengesahkan wujud unsur buli, pengabaian terhadap aduan Zara kepada pihak sekolah dan gangguan seksual dalam kes berkenaan.
Polis sudah menyerahkan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pagi Isnin untuk meneruskan proses seterusnya di samping Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu sudah menetapkan tarikh inkues bermula 3 Sept bagi menentukan punca dan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kematian Zara.
Daripada awalnya orang ramai kehausan maklumat mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan, kini hebahan lebih kerap dilakukan agar masyarakat dimaklumkan dari semasa ke semasa.
AGC juga sudah mengeluarkan kenyataan pada Isnin bahawa beberapa suspek dalam kes buli Zara akan dituduh berdasarkan keterangan daripada penelitian kertas siasatan kes.
“Keputusan untuk menuduh suspek-suspek bagi kesalahan buli berkenaan dibuat memandangkan pertuduhan tersebut tidak akan mengganggu proses inkues yang akan berjalan,” kata AGC.
Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar petang semalam memaklumkan bahawa lima remaja perempuan akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu pada Rabu berhubung kes melibatkan kematian Zara.
“Kesemua mereka akan didakwa bagi kesalahan membuli,” katanya seperti dilapor Astro Awani sambil menambah prosiding akan dijalankan secara tertutup kerana semua suspek berusia bawah 18 tahun.
Seperti ditegaskan Saifuddin, keadilan untuk Zara hendaklah diikhtiarkan berdasarkan fakta dan tidak boleh diasaskan kepada maklumat separa benar, lebih-lebih lagi dakwaan tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.
Dengan pengumuman terbaharu itu, orang ramai harus menerimanya sebagai proses keadilan sedang berjalan dan menghentikan sebarang spekulasi hingga keadilan tertegak jua kesudahannya.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.