Bunga pulak dah…

Bunga pulak dah…

Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal mahu perhatian. Mahu khalayak bercakap mengenainya. Semua politikus begitu, ‘attention seeker’.

Mohsin Abdullah

Seorang kawan lama saya kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal cari publisiti murahan apabila mencadangkan nama bunga Rafflesia ditukar. Saya kata Wan Fayhsal mahu perhatian. Mahu khalayak bercakap mengenainya. Baru rasa relevan. Semua politikus begitu. ‘Attention seeker’.

Jadi, takkan Dr Akmal Saleh si ketua Pemuda Umno sahaja yang boleh dapat atau diberi perhatian dengan stoking dan bendera terbalik? Saya rasa Wan Fayshal rasa beliau pun layak ‘dipercakapkan’. Tapi takkan nak guna stoking? Itu cerita lama. Hal bendera dah dimonopoli Akmal. Lantas bunga Rafflesia. Sekurang-kurangnya ‘isu’ baru. Orang lain belum bawa.

Wan Fayhsal kita tahu ialah Ahli Parlimen Machang. Soal nama bunga beliau bangkitkan di Dewan Rakyat empat hari lalu. Ketika itu Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Johari Ghani sedang buat penggulungan sesi Rancangan Malaysia Ke-13 .

Orang kuat parti Bersatu itu mencelah: “Boleh tak kita bagi nama yang begitu baik bagi bunga kita, mungkin Yang Berhormat menteri (Johari) boleh cadangkan kepada Kabinet untuk cari nama lain yang lebih cantik”. Jawab Johari beliau ambil maklum.

Apa kaitan bunga Rafflesia dengan RMK13 yang sedang digulung semasa Wan Fayhsal mencelah? Yang nyata Wan Fayhsal memanfaatkan peluang bersemuka dengan Johari selaku menteri yang jaga kelestarian alam. Maka cadangan dilontar.

Menurut Wan Fayhsal “Rafflesia ni nama diambil sempena nama Stamford Raffles penjajah kita”. Dan beliau mendakwa Raffles ‘orang yang tak berakhlak tak beretika’.

Lantas beliau cadang apa yang beliau cadangkan ‘sempena Hari Kebangsaan ke-68’ menjelang tiba dan selaras ‘seruan perdana menteri yang mengajak orang ramai melihat sejarah negara di luar kerangka penjajah’.

‘Maybe I am reading too much into it’. Namun, pada hemat saya Wan Fayhsal memerli kerajaan kerana tidak sensitif dan cakap tak serupa bikin berhubung seruan PMX mahu rakyat melihat sejarah di luar kerangka penjajah.

Dan beliau sempat sakat perdana menteri ‘as I see it’, apabila mencadangkan nama bunga Rafflesia ditukar dengan apa juga nama yang lebih bagus termasuk ‘nama Anwar Ibrahim pun boleh’ – meskipun beliau dilihat ‘berseloroh’.

Apa pun saya pelik mengapa Wan Fayhsal mahu nama bunga itu ditukar ‘sempena Hari Kebangsaan?’ Mengapa bawa perkara penukaran nama sekarang? Apa kena-mengena Rafflesia dengan Hari Kebangsaan?

Saya harap beliau tidak keliru dengan bunga raya. Bunga Rafflesia bukan bunga kebangsaan Malaysia. Bunga kebangsaan Malaysia kita tahu ialah bunga raya atau ‘hibiscus rosa-sinensis’.

Rafflesia terkenal dengan saiznya yang besar dan keunikannya dan ia dikenali sebagai bunga yang mempromosikan kekayaan biodiversiti Malaysia di mata dunia.

Bagaimanapun, Rafflesia ialah bunga rasmi Sabah. Mungkin ini sebabnya Wan Fayhsal kaitkan tukar namanya dengan Hari Kebangsaan? Wallahuaklam.

Atau mungkin sebab imej bunga Rafflesia ada atau pernah terdapat pada wang kertas RM10. Imej pada RM10 itu ialah spesies Rafflesia Azlanii. Ia dinamakan sedemikian sempena Sultan Azlan Shah yang memerintah Perak ketika Rafflesia ditemui di Hutan Lindung Temenggor pada 2003.

Rafflesia Azlanii adalah tanda penghormatan kepada Sultan Azlan Shah selaku pelindung warisan ekspedisi atau ‘heritage expedition’.

Oh ya, hampir terlupa pula. Rafflesia ada nama tempatan. Bukan tidak ada iaitu bunga pakma. Terpulanglah nak guna nama Rafflesia atau pakma. Mungkin pakma tidak gah berbanding Rafflesia tetapi pada pendapat saya tetap ada nilai ‘authentic’ tersendiri.

Hakikatnya, memang ada nama Malaysia. Nama lokal yang tidak ada elemen penjajah. Kena tukar juga ke YB?.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.