Politik tunggang-menunggang

Politik tunggang-menunggang

Politik tunggang isu tidak membawa pencerahan. Ia hanya meninggalkan rakyat dalam kekaburan dan keliru.

ronasina

Akibat kerap hujan kebelakangan ini walaupun sekejap-sekejap, membuatkan longkang depan rumah saya tersumbat. Daun kering, plastik dan lumpur menyekat aliran. Saya pun masuklah ke dalam longkang membersihkannya agar aliran lancar kembali. Seorang jiran sambil geleng kepala berkata, “tengoklah, ini semua sebab kerajaan gagal!”

Saya hanya ketawa. Nampaknya longkang pun diheret masuk ke dalam kandang politik.

Beginilah dunia politik kita sejak dulu sehinggalah masuk ke era internet. Tak berubah-ubah malah bak kata orang Pahang, ‘makin menuah-nuah’. Segala apa yang berlaku — kecil atau besar — diborong untuk dijadikan modal politik. Orang sekarang sebut, menunggang isu. Kalau harga barang naik, bagi pembangkang itu bukti kerajaan gagal. Kalau harga turun walau 5 sen, penyokong kerajaan akan berkepak menyatakan itu tanda keberkatan kepimpinan pujaan mereka. Kalau banjir melanda, pihak kerajaan dikatakan berdosa dan dihukum bala. Kalau kena pada dia, itu ujian. Kalau musim tengkujuh tenang tiada banjir atau musim panas tiada berlaku kemarau, maknanya pentadbiran politik bagus. Seolah-olah alam semesta pun tunduk kepada naratif politik. Kalau pasukan bola sepak kebangsaan menang di peringkat luar pun akan dikaitkan dengan politik – siapa yang perintah waktu itu. Macam hampeh!

Kalau beri sumbangan atau bonus, itu dikatakan kerajaan prihatin kepada rakyat, padahal itu duit hasil-mahsul negara. Sudah memang menjadi tanggungjawab kerajaan yang dipilih mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat. Tapi kalau boleh tunggang, tunggang. Yang pembangkang pun tunggang, dikatakan pemberian itu tak setimpal, gula-gula nak beli jiwa rakyatlah; misalnya. Janji boleh belasah, belasah!

Dan terkini, kes kematian tragis seorang pelajar, Zara Qairina Mahathir, yang dikatakan dibuli sehingga pergi dengan cukup menyayat hati – ditunggang politikus. Sepatutnya kita bersimpati dan menghormati, mencari punca sebenar, menuntut keadilan, dan memperbaiki sistem supaya tragedi ini tidak berulang. Tetapi apa berlaku ialah tragedi itu dipetik sebagai peluru politik. Ada yang menunggangnya sebagai bahan politik untuk meraih sokongan di pentas ucapan. Media sosial penuh dengan slogan partisan, bukannya cadangan penyelesaian. Seorang anak hilang nyawa, namun yang hidup berebut hendak jadi juara isu. Yang sepatutnya jadi iktibar nasional — terus tenggelam dalam jerit-pekik ‘kau gagal, aku betul’. Di sinilah politik tunggang isu menunjukkan wajah paling hodoh.

Ini tidak terhenti pada ahli politik sahaja. Itu kita faham amat, al maklumlah politikus ini hidup mereka memang mencari pentas untuk berlakon. Sebab itu apa sahaja isu dia tunggang. Isu dera, isu artis tak sihat, hal sukan, hal kebun durian atau pasang bendera terbalik semua mereka masuk asal boleh ambil kredit. Asal boleh jadi hero. Yang lebih parah tak sedar-sedar ini ialah penyokong fanatik. Mereka jadi penyapu — menyapu apa sahaja kenyataan idola, dan menabur habuknya ke seluruh media sosial. Mereka sambut drama susuk pujaan mereka dengan penuh percaya untuk disebarluaskan. Politik air mata mereka angkat sebagai satu pengorbanan. Politik balas dendam dijual sebagai reformasi. Politik TikTok dirayakan seolah-olah kegemilangan boleh dicapai dengan tarian tiga puluh saat. Apa sahaja, asalkan datang daripada susuk pujaan hati, dianggap suci. Pemimpin merekalah wira, pejuang, penghibur dan imam.

Budaya sapu alias tunggang apa saja isu ini berpotensi untuk membuatkan kita rakyat terbanyak ini lumpuh akal. Setiap isu — bencana alam, krisis ekonomi, malah tragedi kemanusiaan — tidak lagi ditangani dengan akal dan hati, tetapi dengan slogan dan sorakan partisan. Rakyat apolitikal dan non-partisan yang berbeza pandangan pun tak pasal-pasal dimaki. Persoalan di dalam kepala saya tahun demi tahun terhadap politikus penunggang isu ini ialah ‘ke mana kita semua hendak dibawa?’.

Benar, apa sahaja yang kita buat hari ini sama ada bergerak atau tidak bergerak, ada kena-mengena dengan politik dan dasarnya. Kita tak dapat lari daripada politik yang telah membentuk sistem mencatur hidup kita namun bagi saya ada perkara yang tidak memerlukan tafsiran dan sentimen politik. Kena faham perbezaannya itu. Bencana memerlukan tindakan. Tragedi memerlukan pembelaan. Ekonomi memerlukan kepakaran. Ia boleh terus dijalankan melalui kementerian, jabatan dan instrumen kerajaan yang telah lama sedia ada. Tetapi dalam iklim politik tunggang semua, segala-galanya ditukar menjadi senjata. Yang mati jadi bahan kempen. Yang miskin jadi modal ucapan. Yang derita jadi latar wayang. Ini sangat mengganggu orang yang hendak buat kerja. Yang di atas cakap begini, yang nak buat kerja kena buat juga kerja sambil terpaksa ‘cover’ cakap-cakap bodoh orang di atas. Awak di atas, sedap aja bercakap, yang letih adalah mereka yang nak buat kerja di lapangan inilah – yang terpaksa menghadap caci-maki.

Penunggang isu tidak memberikan penyelesaian tetapi hanya menuding kesalahan kepada lawan mereka sahaja. Mereka hanya mahu jadi jaguh isu, kononnya mempunyai seribu satu formula. Tetapi apabila mendapat kedudukan, tak mampu selesaikan juga. Harap gah sahaja lebih bermain dengan statistik dan angka padahal kita di bawah tahu satu habuk pun tak berubah. Dok lagu tu jugaklah!

Politik tunggang isu ini tidak membawa pencerahan. Ia hanya meninggalkan rakyat dalam kekaburan dan keliru. Kita jadi masyarakat yang letih berdebat, sibuk bertengkar di ruang maya, tetapi kosong dalam tindakan. Sementara itu, masalah sebenar seperti harga makanan, kualiti pendidikan, masa depan anak-anak kekal tak terurus. Kalau begini caranya, politik bukan lagi alat mengurus negara, tetapi kuda yang enak ditunggang untuk mengukuhkan kedudukan. Dan kita, tanpa sedar, terus membiarkan diri kita leka menonton aksi mereka tahun demi tahun, penggal demi penggal. Teringat saya akan bait lagu Search berjudul Menara Kesesatan –

Kita didorong-dorong
dari isu ke isu
jerumus dan kecewa
kemudian diselamatkan
Menara kesesatan sempit fikiran
Menara kesesatan dalam kerugian!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.