Piala FA janjikan kejutan

Piala FA janjikan kejutan

Beberapa pasukan reputasi besar hadapi saingan tidak terduga sehingga ada yang mungkin tersingkir awal.

hishamuddin-aun

Mungkin tidak ramai yang mencemburui Yusri Che Lah. Paling lewat dilantik pada pertengahan Julai selaku ketua jurulatih Imigresen FC – pendatang baru Liga Super selepas tampil naib juara Liga A1 Semi-Pro musim lalu – harus tidak ramai juga yang menaruh harapan tinggi kepada pasukan kendaliannya.

Tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi pertama Liga Super pada 9 Ogos, kemudian seri 1-1 dengan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC (12 Ogos), skuad dengan julukan ‘The Mighty Tigers’ itu membuat kejutan apabila menundukkan pasukan pilihan, Terengganu FC, dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA hujung minggu lalu.

Kemenangan 2-1 hasil gol minit akhir Joao Pedro itu menyusul genap sebulan selepas pasukan dibentuk pada 18 Julai – ketika pasukan-pasukan lain sudah melakukan persiapan lebih awal – lantas kekurangan pendedahan dalam perlawanan persahabatan dan memerlukan masa untuk pemain meningkatkan kecergasan dan membentuk keserasian.

“Kami pasukan kerdil yang tiada siapa beri peluang. Lewat mulakan latihan tapi saya tidak akan jadikannya alasan. Kemenangan ke atas Terengganu kami dapat dalam keadaan kami amat memerlukan dan saya harap ia dapat jadi tonik buat pasukan selepas ini,” kata Yusri.

Mungkin ada yang beranggapan jurulatih berusia 49 tahun itu tidak harus memasang angan-angan terlalu tinggi tapi perlu juga diingatkan bahawa bekas jurulatih skuad Projek FAM-MSN pada 2021 itu pernah membimbing Perak FC ke separuh akhir Piala Malaysia musim 2023 ketika langsung tidak diberi harapan.

Di pihak berlawanan, ketua jurulatih Terengganu Badrul Afzan Razali tidak melihat kekalahan itu sebagai penghujung jalan buat mereka sambil berharap untuk mara daripada perlawanan peringkat kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 13 Sept – selepas aksi liga bertemu DPMM Brunei (22 Ogos) dan Selangor FC (27 Ogos).

“Ini silap kami sendiri kerana kurang fokus pada penghujung permainan. Banyak peluang dicipta tetapi pemain gagal menyudahkannya. Apa pun, ini bukan masa untuk tekan butang kecemasan dan insya-Allah kami akan bangkit dengan lebih baik dalam aksi kedua dengan Imigresen nanti,” katanya.

Meski kurang mendapat perhatian ramai di peringkat awal ini, saingan Piala FA rata-rata dilihat menawarkan peluang buat pasukan ‘underdog’ mencipta kejutan di sebalik undian menjurus kepada kemungkinan ulangan pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC dalam final pada 14 Dis nanti.

Sebagai rekod, Harimau Selatan mengalahkan barisan Gergasi Merah itu 6-1 dalam final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Ogos 2024 – terima kasih kepada jaringan hatrik Juan Muniz dan selebihnya daripada Arif Aiman Hanapi, Bergsson da Silva dan Heberty Fernandes.

Terbaharu dilaporkan nilai pasaran JDT kini mencecah €14.1 juta (RM69.5 juta) untuk musim 2025/26 – meningkat daripada €10.83 juta (RM53.3 juta) pada 2024 – selepas membawa masuk ramai pemain berkualiti, antaranya Jairo da Silva, Jon Irazabal, Hector Hevel, Nacho Mendez, Jonathan Silva dan Joao Figueiredo.

Selepas lapan perlawanan pusingan 16 Piala FA, JDT, Negeri Sembilan FC dan Sabah FC boleh dikira sudah melangkah sebelah kaki ke suku akhir dengan masing-masing berbekalkan kemenangan besar. Juara bertahan JDT mengalahkan UM Damansara 5-0 dengan dua gol sumbangan Silva, Negeri Sembilan FC menundukkan PDRM FC 5-0 manakala Sabah FC membelasah Bunga Raya FC 6-0 hasil hatrik Darren Lok.

Negeri Sembilan FC yang tidak bernasib baik diundi bertemu Selangor FC musim lalu dan tersingkir awal, membuat kejutan dalam langkah mulanya. Masing-masing dua gol daripada Jovan Motika dan Joseph Esso selain satu lagi sumbangan Mio Tsuneyasu mungkin menjadikan aksil timbal balik nanti sekadar satu formaliti tetapi ketua jurulatihnya Nidzam Jamil mahu pemain-pemainnya kekal fokus terhadap cabaran seterusnya.

Di sebalik mengisi kedudukan kedua tercorot liga musim lalu, skuad Rusa itu lebih dahulu membuat kejutan apabila mendahului 2-0 ke atas JDT, kemudian bangkit merapatkan kedudukan 3-4 sebelum akhirnya tewas 3-5 dalam aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 12 Ogos.

“Kami masih ada proses yang panjang untuk menjadikan pasukan ini lebih baik. Saya belum benar-benar puas hati (ketika menentang PDRM). Apa yang berlaku di padang dengan keputusan, itu perkara berbeza tetapi saya rasa kami perlu bermain lebih baik lagi untuk akan datang,” katanya sambil membayangkan penyerang muda sensasi, Luqman Hakim Shamsudin, akan diturunkan dalam masa terdekat.

Di sebalik menang 3-1 ke atas Malaysian University FT (MUFT), ketua jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi masih merungut kerana pintu gol pasukannya dibolosi lawan yang diwakili kelab dari Liga A1 Semi-Pro.

Ini berlaku selepas Gergasi Merah berada 3-0 di depan melalui kapten Faisal Halim (m-4, 40) dan Alvin Fortes (m-24), tapi membenarkan MUFT bangkit dengan satu gol sagu hati menerusi Aiman Danial enam minit sebelum tamat.

“Setiap perlawanan adalah progres buat pasukan. Bagi saya ini juga merupakan satu sasaran untuk mendapatkan piala dan bolos satu jaringan mungkin kesilapan dari saya,” katanya ketika ditemu bual Astro Arena selepas perlawanan.

Kinoshi masih dikira beruntung kerana pasukannya berbekalkan dua gol berbanding rakan sejawatannya bersama Kuching City FC (KCFC) Aidil Sharin Sahak yang pulang dari kunjungan ke Bandar Sri Begawan di mana pasukannya dikejutkan dengan kekalahan 2-3.

Bolos seawal minit kelima menerusi kapten DPMM, Azwan Ali Rahman, KCFC mengikat kedudukan menerusi Ronald Ngah Wanja (m-43), disusuli gol pendahuluan James Okwuosa (m-47). Gol-gol Miguel Oliveira (m-49) dan Jordan Murray (m-79) untuk tuan rumah membuat KCFC tidak mampu menghambat lagi.

Tambah malang buat skuad The Cats itu, sepakan penalti Gabriel Nistelrooy pada minit akhir perlawanan dapat dinafikan penjaga gol DPMM, Kristijan Naumovski.

“Kami perlu segera pulih, merancang strategi dan kembali fokus untuk aksi menentang JDT (24 Ogos). Ia perlawanan penting dan kami mahu cuba mendapatkan mata di tempat sendiri,” kata Aidil Sharin yang enggan mengulas mutu pengadilan Tuan Mohd Yaasin Tuan Hanafiah sambil mengungkapkan: “Kalau saya komen, saya rugi (digantung atau didenda).”

Turut tergolong sebagai keputusan mengejut ialah apabila Kelantan The Real Warriors FC (KTRW) menghantar pulang Kuala Lumpur City FC (KLCFC) dengan kekalahan 1-3 dari Kota Bharu yang menyaksikan penyerang pelawat Safawi Rasid tergelincir ketika mengambil sepakan penalti, menyebabkan sepakannya tinggi ke awan pada minit terakhir.

Dalam satu lagi perlawanan, Penang FC menundukkan Melaka FC 2-0 menerusi kedua-dua gol Dylan Wenzel-Halls di Stadium Hang Jebat pada Ahad – menebus keputusan seri 1-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu di gelanggang sama dalam aksi liga empat hari sebelum itu.

Tidak salah untuk Yusri dan ‘pasukan kerdil’ yang dikatakannya memasang impian untuk mara sejauh mungkin dalam saingan kalah mati ini berbanding liga.

Salah satu kejutan terbesar berlaku pada musim 2015 apabila LionsXII – sebuah pasukan pembangunan terdiri daripada pemain bawah 23 tahun – menjulang trofi juara apabila mengalahkan pasukan pilihan hangat, Kelantan, 3-1 dalam final.

Seperti pasukan ‘underdog’ lain, pasukan bimbingan ketua jurulatih Fandi Ahmad ketika itu turut bermula dengan angan-angan untuk kesudahannya menggapai impian.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.