Bolehkah Malaysia merdeka daripada fitnah?

Bolehkah Malaysia merdeka daripada fitnah?

Bagi mengatasi fitnah, si pendengar sendiri mesti mengetahui apa yang fitnah dan apa tidak. Fitnah berlaku kerana kejahilan, kebodohan atau tiada kewarasan dan pertimbangan logik.

faisal tehrani

Dua tahun lalu, saya pernah menulis sebuah rencana meminta kita semua memerdekakan diri daripada fitnah. Tahun tersebut merupakan tahun marak dan berkesiurannya fitnah politik.

Saya menyarankan, sebagai contoh kita rakyat Malaysia mestilah berusaha menahan diri daripada melakukan fitnah, menahan diri daripada membuat kandungan media sosial yang bukan-bukan semata-mata untuk menaikkan jumlah tontonan. Parti politik dan ahli politik pula mesti menahan diri daripada menyebarkan fitnah dengan alasan ia adalah kebebasan mengkritik. Tahun 2023 tersebut ada fitnah kononnya sekolah tahfiz seluruh Selangor akan ditutup. Padahal yang benarnya ialah arahan supaya sekolah tahfiz ini meningkatkan tahap keselamatan.

Akan tetapi nampaknya, dua tahun kemudian kita semakin ‘maju’ dalam melakukan fitnah, dan ini misalnya terserlah dalam kes Zara Qairina Mahathir iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang malangnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri berdekatan longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai. Beliau sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.

Ketika membaca berita itu, sebagai seorang bapa yang mempunyai anak di usia sama, saya amat berdukacita. Kemudian makin banyak ‘berita’ dijaja, dan ini diapi-apikan lagi oleh saluran telegram tertentu.

Apabila makin banyak terselak, kita mendapati ada pakar patologi palsu pula. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) awal minggu ini mengesan individu di sebalik akaun TikTok ‘Dato Prof Dr Tunku Iskandar’ yang menyamar sebagai pakar patologi serta mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Allahyarham Zara. Sebelumnya, seorang guru bahasa Inggeris ditahan kerana memuat naik video memaparkan kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh. Beliau mengakui ia hanyalah sekadar ‘content’.

Apa dikesalkan ialah kalau pun ada kesalahan – ralat – misalnya dalam fitnah-fitnah sebegini, bubur telah pun terjadi. Fitnah begini sudah pun mempengaruhi ramai orang meskipun ‘kebenaran’ yang dikemukakan itu adalah palsu.

Mengapa dan bagaimana fitnah ini berleluasa?

Jawapan mudahnya ialah gejala fitnah memang telah wujud lama, dan ia memang merupakan senjata politik yang ampuh. Selepas kewafatan Rasulullah SAW misalnya, Perang Jamal, Perang Siffin dan Perang Nahrawan terjadi ekoran fitnah selepas khalifah ketiga, Uthman Affan dibunuh orang. Dalam peradaban lainnya, fitnah juga menjadi senjata yang berkesan untuk melakukan porak-peranda, dan memudahkan musuh menyusup.

Kebangkitan internet dalam tahun 1990-an sehingga sekarang membawa kita kepada masalah yang sebelumnya jarang kedengaran. Antara lain, masalah yang timbul adalah kecurian identiti, buli siber, dan penipuan melibatkan kewangan dan maruah diri. Ini juga bermakna, fitnah dinaik taraf sebagai senjata dan hari ini boleh dilakukan dengan mudah dan lebih berkesan.

Jika dekad-dekad lalu, atau zaman sebelumnya fitnah mengambil masa untuk memberi kesan dan mempengaruhi masyarakat; di zaman ini yang mana kita menghadap telefon bimbit sepanjang masa, maka fitnah ini masuk tanpa disaring terus ke dalam kepala otak orang ramai.

Ia sempat membuat onar dan geger memuncak jadi kerosakan, sebelum akhirnya disedari salah dan merupakan satu pembohongan. Pihak yang melakukannya kadangkala terlepas, dan tidak perlu pun memohon maaf. Dalam beberapa keadaan mereka pula dianggap mangsa dan ramai-ramai dibantu dengan derma kilat tin milo.

Berapa banyak akta dan penyaringan jika diperkenalkan pun belum tentu dapat membanteras fenomena hodoh ini. Makanya, bagaimana fitnah dapat dihentikan? Jika fitnah adalah alat syaitan untuk menjobloskan manusia ke dalam neraka bersamanya, adakah fitnah dapat dihentikan? Tentu sahaja tidak, bahkan para nabi sendiri tidak merdeka daripada fitnah politik. Jadi perisai agama pun belum tentu kuat.

Memang hampir tiada cara dan solusi untuk menangani hal fitnah ini. Ingatan dari mimbar masjid pun menjadi olok-olokan masyarakat, bahkan kadang ustaz di mikrofon dan speaker surau sendiri galak menyebarkan fitnah. Guru yang sepatutnya menjadi pedoman moral umat pun ikut melakukan fitnah.

Saya berpendapat untuk mengatasi fitnah, si pendengar sendiri mesti mengetahui apa yang fitnah dan apa yang tidak. Fitnah berlaku kerana kejahilan, atau kebodohan. Atau tiada kewarasan dan pertimbangan logik.

Jadi fitnah itu ada pembalutnya. Bungkusan fitnah adalah cerita. Fitnah menjadi sedap kerana naratif. Dalam konteks fitnah politik, ia adalah
sebahagian propaganda sebahagian lagi pembohongan untuk menguasai fikiran orang atau pengundi. Ia memerlukan cerita untuk dilandasi.

Sewaktu tersebar fitnah atau cerita arwah Zara dimangsai oleh cucu VVIP, sebagai seorang pengarang fiksyen (baca: cerita) menyoal kembali apa yang anak atau cucu, atau cicit VVIP dapat bila bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar? VVIP di Malaysia kita tahu biasanya, resmi mereka adalah Crazy Rich Asian, mereka bersekolah di negara lain. Di London misalnya. Cucu VVIP buat apa di Papar, Sabah?

Atau mengapa ‘Dato’ Prof Dr Tunku Iskandar’ (yang menyamar sebagai pakar patologi) turun melacur di siaran akaun TikTok, seamat hapraknya pakar patologi ini. Kalau kita belajar menulis cerpen tentu tidak cocok Dato Profesor Dr ini dari segi karektorisasi. Atau tidak kena pula rukun watak dan perwatakan Lim Guan Eng bersepupu dengan Lee Kuan Yew, ini kerana jalur masa penceritaan sudah tergelincir masuk lubang jamban.

Untuk membolehkan penilaian bernas dan masuk akal ini dilakukan, latihan saya sebagai seorang pengarang fiksyen banyak membantu. Ini kerana saya sendiri tukang cerita, dan saya tahu cerita yang lemah dan munasabah. Saya sendiri tahu plot atau sebab akibat mana yang logik atau tidak masuk akal. Saya tahu meskipun ada cerita dibina dengan realisme magis, masih ada bahagian dalam cerita itu memerlukan lojika.

Akta tidak dapat menghentikan fitnah dua tahun lagi, 20 tahun lagi, 200 tahun lagi, malah 2,000 tahun lagi. Ya memang sudah ramai yang bercakap mengenai pendidikan agama, bahawa fitnah itu umpamanya dosa membunuh. Kita akur dosa pahala.

Tetapi cuba kita berfikir di luar kotak sekali. Kita perkukuhkan pendidikan sastera di sekolah. Kita ajari murid misalnya ‘anak-anak Gen Beta sekian, kisah begini tidak logik, cuba fikirkan. Kerana ia tidak cukup rukun kebenaran. Jadi kita ajari mereka semua alat penceritaan seperti apa itu mitos urban, kausaliti, atau latar mesin basuh contohnya.

Insya-Allah dua puluh tahun lagi kita akan ada generasi yang tidak mudah menelan narati politik bodoh dan palsu. Orang nanti tak akan mudah percaya kalau ada cerita dongengan berbumbu perkauman misalnya, kerana sudah terbiasa membaca novel yang menawarkan diversiti.

Ia jalan panjang untuk membasmi fitnah. Anwar Ibrahim pembaca Garbo tentu bersetuju dengan saya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.